Sunday, September 1, 2019

Bab 9 Sikap Terhadap Pentaksiran

    
Pengenalan

Menurut Kamus Dewan (2005), sikap bermaksud perbuatan atau pandangan berdasarkan sesuatu pendapat. Pentaksiran pula merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti  menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seseorang bagi sesuatu tujuan (LPM, 2000).

         
           Oleh itu, sikap terhadap pentaksiran didefinisikan sebagai kelakuan seseorang terhadap pelbagai tugasan bagi menghadapi ujian atau peperiksaan yang menguji pengetahuannya sepanjang proses pembelajaran.


Rajah menunjukkan tujuan pentaksiran.


Jenis-jenis Pentaksiran

     1. Pentaksiran Sumatif

Pentaksiran jenis ini lazimnya dilakukan di akhir sesuatu kursus atau pembelajaran.
           Ia berfungsi sebagai penentu ketika melakukan pemberian gred kursus atau mata pelajaran kepada murid.

2. Pentaksiran Formatif

Pentaksiran jenis ini lazimnya dilakukan sepanjang sesuatu kursus atau pembelajaran.
          Pentaksiran pada peringkat ini bertujuan untuk mengesan penguasaan dan kemajuan murid untuk membaiki kelemahan dengan kadar segera. Pentaksiran jenis ini tidak memfokuskan kepada pemberian gred dan membandingkan pencapaian murid.

 3. Pentaksiran Berasaskan Prestasi 

Pentaksiran jenis ini terbahagi kepada dua :
i.              Pentaksiran Formal
Contoh : Ujian atau esei atau kuiz yang diberikan markah.
ii.             Pentaksiran Tidak Formal
Contoh : Kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan lain-lain.

          Pentaksiran ini sama dengan pentaksiran sumatif kerana ia berfokuskan kepada pencapaian. Bezanya ialah tugasan yang diberikan didefinisikan dengan sempurna dan murid diarahkan mencipta atau melakukan sesuatu, biasanya ia melibatkan aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam dunia sebenar seperti mengecat dan memberi ucapan.

4. Pentaksiran Internal dan Eksternal

Pentaksiran internal ditentukan dan disemak oleh guru, iaitu murid memperoleh markah dan maklum balas daripada pentaksiran yang telah dilakukan. Contohnya Peperiksaan Akhir Tahun.          Pentaksiran eksternal pula ditentukan oleh sebuah badan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia. Kertas pentaksiran disemak oleh pakar dari luar dan markah pentaksiran sahaja akan dimaklumkan kepada murid, namun kelemahan mereka tidak dimaklumkan. Contohnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Persediaan untuk Pentaksiran

Tugasan Individu


Pelajar perlu mengumpul dan menyediakan nota yang baik.


Pelajar hendaklah sentiasa mengulang kaji pelajaran.


Pelajar perlulah memahami dan menghafal nota.


Pelajar perlu menyediakan jadual dan perancangan belajar


Tugasan Berkumpulan


1) Secara berkumpulan terokai tugasan yang diberi. Ketua kumpulan perlu menentukan
tugasan (aspek-aspek pentaksiran yang perlu diterokai oleh ahli) untuk setiap ahli.  Lebih baik jika setiap ahli kumpulan berbincang dahulu apa yang perlu dilakukan.



2) Setiap ahli kumpulan melaksanakan tugasan mengikut arahan yang diberi. Setiap ahli juga perlu bekerjasama menyumbang idea dan saling membantu antara satu sama lain.


3) Setelah siap, tugasan berkumpulan dihantar atau dibentangkan di hadapan kelas untuk sesi perbincangan, penyampaian idea dan kritikan.


Integriti Pelajar
          Setiap idea yang dipersembahkan mestilah idea dan pandangan yang tulen tanpa menciplak mana-mana idea. Sekiranya idea ialah hasil daripada rujukan orang lain, kredit mestilah diberikan kepada penulis asalnya. Misalnya dalam penulisan esei, penghasilan produk, membuat laporan hasil dapatan kajian yang dijalankan setelah membuat penerokaan, menghadapi kuiz tanpa meniru dan menyiapkan kerja amali. Setiap tugasan yang diberikan mestilah asli daripada idea individu itu sendiri.

Kesimpulan

          Pentaksiran amat penting bagi mengetahui keberkesanan sesuatu aktiviti kepada individu. Pentaksiran sering dikaitkan dengan peperiksaan yang menguji daya minda, ingatan dan kefahaman individu. Hakikatnya pentaksiran sentiasa berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran sama ada secara formal atau tidak formal. Oleh itu, sangat penting bagi setiap pelajar untuk menunjukkan sikap yang baik dan sentiasa memberi perhatian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menghadapi setiap pentaksiran dengan baik. Namun, perlu diingatkan bahawa niat belajar bukanlah semata-mata kerana pentaksiran tetapi ilmu perlulah diamalkan sepanjang hayat.





No comments:

Post a Comment