Pengenalan
Kemahiran memproses maklumat merupakan keupayaan dan kebolehan seseorang untuk menganalisis dan mentafsir sesuatu maklumat yang dibaca atau didengar. Maklumat tersebut dapat digunakan untuk menyelesaikan tugasan. Terdapat dua sumber maklumat iaitu sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer ialah hasil yang diperoleh oleh pengkaji sendiri melalui temubual atau soal selidik. Jurnal juga merupakan salah satu sumber sekunder. Sumber sekunder diperoleh melalui pembacaan seperti buku, majalah dan sebagainya.
Menganalisis Maklumat Yang Dikumpul
Sesuatu maklumat yang dikumpul hendaklah dianalisis terlebih dahulu. Analisis maklumat merupakan satu proses menggunakan data untuk menghasilkan maklumat atau kesimpulan yang berguna. Maklumat yang perlu dianalisis ialah maklumat berbentuk kualitatif dan kuantitatif. Maklumat kuantitatif berbentuk nombor manakala maklumat kualitatif dalam bentuk teks, graf, jadual, rajah dan sebagainya. Maklumat boleh dianalisis dengan menghubungkaitkan fakta, mensintesis data, membandingkan fakta, membaca yang tersirat dan membuat kesimpulan.
Mentafsir Dan Membuat Kesimpulan
Mentafsir maklumat merupakan satu kebolehan untuk menerangkan sesuatu seperti objek, fenomena atau pola secara rasional berdasarkan maklumat yang dikumpul. Tafsiran dibuat berdasarkan pengalaman, ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam diri pelajar. Oleh itu, tafsiran yang dihasilkan oleh pelajar akan berbeza kerana pendapat yang berbeza.
Setelah maklumat ditafsir, kesimpulan haruslah dibuat. Kesimpulan ialah gagasan atau kata sepakat yang terhasil dari hasil tafsiran pada hujung perbincangan. Kesimpulan yang dibuat daripada data lebih mudah daripada teks. Hal ini kerana, kesimpulan yang dibuat ke atas data mempunyai hasil kiraan yang tepat manakala kesimpulan daripada teks lebih sukar kerana kesimpulan dibuat berdasarkan pendapat dan keperluan pembaca.
Menilai Maklumat
Terdapat dua perkara penting untuk menilai maklumat iaitu menilai maklumat rujukan dan maklumat penulisan. Penilaian penulisan adalah membuat pertimbangan dan memberi rasional dengan alasan yang kukuh. Setelah semua maklumat kualitatif dan kuantitatif telah dianalisis, ditafsir dan dibuat kesimpulan menyeluruh maklumat tersebut akan melalui proses penilaian. Menili maklumat merupakan pandangan dan idea penulis terhadaap kesimpulan yang dibuat oleh pembaca berdasarkan hasil pembacaan.
Selain itu, penilaian juga dibuat untuk menilai maklumat rujukan. Penilaian dibuat berdasarkan beberapa faktor untuk menilai sejauh mana kesahihan dan ketepatan maklumat tersebut. Faktor- faktor tersebut adalah seperti berikut:
a) Perbandingan fakta dengan pendapat
Fakta dengan pendapat perlu dibandingkan kerana fakta ialah sesuatu yang diketahui umum sebagai benar-benar wujud, sahih dan tidak dapat dipertikaikan manakala pendapat mungkin terdiri daripada buah fikiran seseorang atau sesuatu organisasi dan tidak semestinya benar, betul atau sahih.
b) Tahun penerbitan
Tahun penerbitan adalah penting untuk diketahui. Hal ini kerana, kredibiliti teori, konsep dan model akan berubah. Jadi berkemungkinan maklumat yang sangat berpengaruh pada suatu masa dahulu menjadi maklumat yang ketinggalan zaman. Sudah pasti maklumat yang dicari pelajar ialah maklumat terbaru dalam dapatan terkini.
c) Autoriti
Autoriti pula adalah penting untuk mengetahui asal-usul maklumat yang diperoleh dan menilai sama ada maklumat tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya. Organisasi yang membayar supaya sesuatu maklumat ditulis mungkin Mempunyai agenda tersendiri. Ini boleh mempengaruhi kualitinya.
Para pembaca seharusnya mengetahui latar belakang penulis. Hal ini kerana, kebanyakan penulisan ditulis berdasarkan pengalaman atau persepsi sendiri dan tidak berdasarkan kajian. Jika bahan bacaan tersebut bukan bidang penulis dan mereka bukan seorang yang arif, pembaca boleh mempersoalkan ketepatannya.
Pelajar boleh menyemak perkara berikut bagi menetukn kesahihan:
I) Siapakah pengarang buku ini?
II) Apakah kelayakan pengarang ini?
III) Apakah hasil karya lain pengarang tersebut?
d) Sumber penerbitan
Sumber penerbitan memberikan banyak maklumat tentang kualiti sesuatu bahan penulisan. Sekiranya penulisan tersebut dalam bentuk jurnal, panel akan menyemak semula artikel tersebut dan disebabkan itu, kualitinya tinggi. Jika sumber tersebut tidak diterbitkan dalam jurnal yang disemak semula, maka penerbitan itu tidak dianggap berkualiti tinggi. Maklumat yang terdapat di blog-blog dan Wikipedia juga tidak dianggap berkualiti tinggi kerana ia merupakan pendapat penulis yang bukan berdasarkan fakta atau mungkin tidak arif dalam bidang tersebut.
Mensintesis Maklumat Untuk Menghasilkan Bahan Bertulis
Mensintesis merupakan aktiviti yang sukar dilakukan kerana ia memerlukan pembaca mempunyai aras kognitif yang tinggi dan melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi(KBAT). Proses mensintesis adalah peringkat menggabungkan atau mencatumkan unsur yang berlainan untuk menghasilkan suatu idea baharu secara menyeluruh. Sintesis adalah menggabungkan idea, mengubahkan semula idea dan menyatukan idea. Maklumat perlu disintesis untuk menjadikan data dalam bentuk baru, memudahkan pemahaman, memberi gambaran menyeluruh tentang maklumat, menjadikan maklumat lebih bermakna, laporan mudah difahami dan menyempurnakan tugasan.
Kesimpulan
Kita hendaklah mengkaji terlebih dahulu maklumat yang diperolehi sebelum menyediakan tugasan atau bahan bacaan. Hal ini kerana, maklumat tersebut hendaklah tepat dan tidak dapat dipertikaikan. Tambahan pula, kita dapat mengingati dan menguasai maklumat tersebut. Sekiranya maklumat tersebut tidak tepat, ia akan menyebabkan pembaca menerima maklumat yang salah tanpa mereka sedari.
Disediakan oleh,
Nazratul Ain Binti Mohd Alawi
PPISMP Bahasa Melayu 4
Ipg Kampus Darulaman
No comments:
Post a Comment